Saya kongsikan entri daripada salah seorang ibu. Diharap kita dapat sama-sama mengingatkan antara satu sama lain fungsi lampu isyarat yang tidak boleh dipermainkan. -PAKSI-
http://www.adzriel.com/2012/05/jangan-main-tekan-tekan-suis-lampu.html
Terima kasih kepada Puan Liza atas sikap prihatin beliau.
Monday, 14 May 2012
Jangan main tekan-tekan suis lampu isyarat!
Macam biasa aku menunggu anak aku, Asyikin pulang dari tusyen sekolah untuk murid-murid UPSR bermula pukul 11.00 pagi. Aku park kereta di tepi bahu jalan berhampiran dengan lampu isyarat laluan untuk pelajar sekolah melintas.
Lama menunggu di dalam kereta dengan anak bongsu aku, Arif. Kononnya malas nak keluar dari kereta sebab malas nak mendukungnya yang dah makin membesar dan aktif. Dah nak 3 tahun pada 28 Mei 2012 nanti.
Murid-murid dah mula keluar, tapi macam biasa anak dara aku tu memang lambat munculnya. Sejak dia kecil lagi begitulah keadaannya selalu saja yang lewat keluar. Suka lenggang kangkung agaknya.
Adalah 2 orang budak lelaki yang berdiri di tiang lampu isyarat sambil tangan menekan suisnya. Lampu untuk laluan kenderaan bertukar merah dan pelajar bolehlah melintas bila lampu pejalan kaki bertukar hijau. Tetapi tiada siapa pun yang melintas waktu itu termasuklah 2 orang budak lelaki tadi.
Aku hanya memerhati mereka lagi. Bila lampu merah bertukar hijau untuk laluan kenderaan, mereka mula menekan semula suis lampu isyarat. Situasi tadi berulang hingga 3 kali dengan tiada siapa pun melintas walau pun lampu hijau untuk melintas dah menyala.
"Tak boleh jadi ni!" , hati aku jadi geram.
Aku matikan enjin, dukung Arif dan melintas jalan menuju ke arah budak tu. Salah seorang sudah pun berlalu, tinggallah seorang yang masih sayangkan tiang lampu isyarat tu.
"Boleh tak jangan tekan suis tu kalau tak nak melintas?" , aku tegur budak tu dengan nada tegas, tak rendah tak tinggi.
"Jangan main tekan-tekan je, nanti jalan jadi jem kat sini!" , tambah aku lagi.
Terdiam budak tu. Nyarislah dia tak melawan cakap aku. Ada juga rasa hormatnya pada aku. Maknanya bukannya budak ni tak baik cuma nak main-main. Dia tak faham akibat dari perbuatannya. Dia mungkin hanya nampak kereta mula berhenti, kemudian bergerak. Dia tak nampak perbuatannya menyebabkan jalan menjadi semakin sesak, para pemandu menjadi marah dan mula menyumpah-nyumpah.
"Nak acik ambil gambar letak dalam facebook ke? Atau tunjuk gambar kat cikgu?" , mengugut budak tu le pulak. Ishhh... macam kejam je kan. Psikologi untuk budak-budak je.
"Lain kali jangan buat lagi tau! Pesan dengan kawan-kawan pun jangan buat macam ni! Kalau betul-betul nak melintas, baru tekan suis tu!" , aku tambah 'asam' lagi. Budak tu angguk je... fahamlah agaknya. Aku harap dia betul faham.
Bila hal begini berlaku, sebagai ibu bapa maka aku kena kerap pesan dengan anak-anak "tekan suis tu sekali je, tak payah nak tekan banyak kali. Lepas tu tunggu je dia tukar hijau".
Selepas aku berlalu dari situ, budak tu dah menjauhkan diri dari tiang tu. Tak lama kemudian aku nampak maknya datang. Maka dia pun tekan suis lampu isyarat tu. Terasa lama agaknya, dia tekan lagi. Ish.. tak puas hati, maknya tekan lagi. Geleng kepala ajelah aku waktu tu. Faham-faham sendirilah.
Budak-budak ni nak kena pesan selalu tentang sikap menekan suis lampu isyarat di depan sekolah sama ada di pihak ibu bapa atau guru-guru. Tapi kalau ibu bapa, siapa pula nak ingatkan? Aku senang je, kalau jalan agak boleh nak melintas tu malas aku nak tekan suisnya.
PAKSI
========================
0 comments:
Post a Comment