Info Terkini PPBSP

Bukit Mahkota: 800 penduduk bimbang keluar rumah


Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/800pendudukbimbangkeluarrumah/Article/index_html

800 penduduk bimbang keluar rumah

Bangi: Kejadian 28 kes pecah rumah di kawasan perumahan Seksyen 6 Bandar Bukit Mahkota di sini, membabitkan kerugian hampir RM1 juta dalam tempoh enam bulan ini menyebabkan 800 pemilik rumah di kawasan itu berada dalam ketakutan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Mahkota 6 Mat Jim Wahab berkata, keselamatan penduduk kini terancam sehingga menyebabkan penduduk berasa bimbang untuk meninggalkan rumah ketika bekerja selain rasa risau keselamatan isteri dan anak yang ditinggalkan bersendirian di rumah.


"Bagi mengekang kejadian ini terus berlaku, kami menubuhkan skim rondaan secara sukarela yang menjalankan kawalan bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi.


"Selain itu, kami turut menempatkan empat pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam di setiap zon. Namun, usaha ini masih lagi mengancam keselamatan penduduk," katanya ketika ditemui semalam.


Sehubungan itu, pihaknya bercadang membina pagar mengelilingi kawasan itu yang dijangka dimulakan November ini.


"Ahli jawatankuasa penduduk bersetuju untuk membiayai kos pembinaan sebanyak RM400,000 yang akan dikutip daripada 800 pemilik rumah.

"Kami tiada pilihan lain kerana pembinaan pagar ini nanti dapat mengurangkan bilangan 'lorong tikus' yang berisiko untuk diceroboh. Setiap rumah perlu membayar RM700 dan diharap mereka dapat memberi komitmen supaya keselamatan dan keselesaan mereka lebih terjamin," katanya.


Terbaru, sebuah rumah dipecah masuk ketika penghuninya berbuka puasa di luar, Sabtu lalu. Mangsa yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian itu, sekumpulan perompak memasuki rumah teres dua tingkat miliknya sebelum melarikan wang tunai, barangan kemas serta pelbagai koleksi barang antik berjumlah RM120,000.

Menurutnya, dia hanya menyedari rumahnya dipecah masuk selepas mendapati pintu dapur terbuka ketika pulang jam 9.30 malam.


"Mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku, saya naik ke bilik di tingkat atas dan mendapati kabinet pakaian terbuka dan barangan berselerak di merata tempat.


"Barangan berharga yang diletakkan di beberapa tempat tersorok turut dilarikan," katanya.


Difahamkan, penjenayah terbabit dikatakan menjalankan kecurian secara terancang dan pantas kerana ketika kejadian jirannya turut mengadakan jamuan berbuka puasa hanya beberapa meter dari rumahnya.


Beliau berkata, sejak kejadian, dia dan isteri tidak lagi berani untuk keluar masuk rumah kerana bimbang kejadian sama berulang.


"Lokasi rumah ini terletak di tepi kawasan bukit yang hanya bersebelahan dengan jalan besar. Kemungkinan penjenayah boleh masuk menggunakan laluan dari luar ini tanpa perlu masuk ke laluan utama.


"Kecurian di kawasan ini semakin menjadi-jadi sejak tahun lalu. Bagaimanapun saya bersyukur kerana kejadian ini berlaku semasa kami tiada di rumah, "katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan.


Katanya, polis juga sudah mengarahkan pasukan ronda bermotosikal untuk melakukan rondaan di kawasan perumahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30  143  3 Google +0  0  0



0 comments:

Post a Comment

Artikel Menarik

Penafian

Persatuan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakkan atau kehilangan yang dialami disebabkan oleh penggunaan maklumat dalam laman web ini.